20 May, 2011

Istiqamah Seumpama Rumput.


Dipijak tetapi tidak mati, lembut tetapi tidak reput..itulah gambaran satu ciptaan Tuhan yang sangat indah.

Rumput ialah sejenis tumbuhan yang paling mudah tumbuh, tahan lasak dan senang mata memandang. Warnanya yang hijau memberikan ketenangan kepada sesiapa  yang melihatnya. Rumput tidak berbuah, tidak mengeluarkan bunga yang berwarna-warni, tetapi manusia tetap menanamnya.


Kenapa? Apa keistimewaannya rumput? Rumput memberi kekuatan kepada tanah. Akarnya mencengkam dan menghalang air daripada menembusi tanah dengan mudah. Ia menghalang hakisan tanah di lereng-lereng cerun yang curam. 

Menahan hakisan tanah?? Oh, hebatnya! Walaupun tanah dan batu sifatnya keras..rupa-rupanya rumput yang lembut yang menahan tanah daripada runtuh, bukannya tanah mahupun batu yang keras itu. Bukan pokok bunga ros yang menghasilkan bunga yang cantik atau pokok rambutan yang menghasilkan buah yang banyak.

Apa yang kita boleh belajar dari hakikat ini..jangan berasa hina diri. Walaupun kita tidak mempunyai rupa yang cantik, harta yang banyak atau kecerdasan yang tinggi, kita masih boleh berbakti kepada orang lain melalui keistimewaan yang kita miliki.

Tuhan mencipta manusia dengan 'keunikan' masing-masing. Setiap orang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.  Kenali apakah keistimewaan kita dan pertingkatkan. Jadilah seperti rumput, walaupun tidak berbuah dan tidak berbunga tetapi mampu menahan hakisan air.


Rumput itu lembut tetapi kuat..walaupun dipijak beribu kali, rumput masih mampu bertahan. Lembut memang lembut, dan kerana kelembutan itulah ia tidak patah apabila dipijak. Ia melentur apabila dihenyak, tetapi kemudiaannya kembali semula ke bentuk asalnya. Bayangkan jika rumput 'berkeras', pasti akan patah dan musnah.

Kelembutan pada rumput sebenarnya adalah satu kekuatan, bukan satu kelemahan. Kita pun begitu juga..jangan terlalu berkeras dan sukar bertolak ansur. Kita boleh tegas tapi bukan berkeras. Ada orang yang suka berkeras tetapi tidak tegas. Dan tidak mustahil ada juga yang lembut, tetapi sebenarnya sangat tegas. Belajarlah daripada rumput, sifatnya lembut tetapi tidak patah sekalipun dipijak dan dihenyak. Bersikap lemah lembut bukan bererti kita lemah, malah itu sebenarnya adalah satu kekuatan.  

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...