16 May, 2011

Kad Ucapan Hari Guru dari Kak Ayu dan ucapkanlah 'Terima Kasih"


Terima kasih Kak Ayu, Citarasa Rinduan kerana sudi menghadiahkan kad ucapan hari guru. Rasa terharu sangat-sangat kerana jasa sebagai guru dihargai oleh semua rakan-rakan. 

Kerjaya sebagai seorang guru pada masa kini sangat besar cabarannya berbanding guru-guru terdahulu. Dahulu, seorang guru cukup dihormati. Ke mana saja pergi, orang akan panggil 'cikgu'. Ibu bapa dahulu terutamanya yang tinggal di kampung menyerah sepenuhnya anak-anak mereka kepada guru. Ayah saya dahulu pernah berkata kepada seorang cikgu saya semasa saya di sekolah rendah "Cikgu, ajarlah anak saya dengan apa cara sekalipun supaya anak saya pandai, jadi orang yang berguna. Asalkan jangan patah riuk sudahlah..." Betapa ayah saya dahulu sangat percaya kepada guru untuk mendidik anaknya ini.

Tetapi kerjaya guru sekarang ini tidak begitu, guru tidak dibenarkan sedikit pun menyentuh murid..jentik tak boleh, pukul jauh lagi. Tugas guru hanya untuk mengajar semata-mata. Sering kali tindakan guru untuk membimbing murid disalahertikan oleh ibu bapa kononnya nak mendera anak mereka. Tapi sesetengah ibu bapa sering lupa, separuh masa murid adalah bersama dgn guru-gurunya. Kadang-kadang masa dengan ibu bapa hanyalah waktu malam sebelum mereka masuk tidur. 

Walaupun kadang kala guru agak tegas dengan murid tapi nun jauh di sudut hati rasa sayang kepada mereka sentiasa wujud di hati. Bila guru menegur murid bukan kerana benci tapi kerana rasa sayang kepada mereka, ingin melihat anak didiknya menjadi insan yang lebih baik. Namun begitu saya amat berterima kasih kepada ibu bapa yang meletakkan sepenuh kepercayaan untuk mendidik anak mereka.

Guru-guru bukan meminta untuk disanjung tapi cukuplah sekadar ucapan terima kasih. Bila seorang ibu datang berjumpa dengan saya mengucapkan "terima kasih cikgu mengajar anak saya." Aduh, terharunya rasa hati bila diri dihargai, hilang rasanya segala penat lelah selama ini.

Namun, tak semua ibu bapa sebegitu. Kenapa sukarnya untuk mengucapkan terima kasih. Pernah satu hari, tiga tahun yang lalu seorang murid lelaki terluka di hidung. Walau pun saya bukan guru kelas kepada murid tersebut, atas rasa simpati saya membersihkan dan meletakkan ubat pada murid itu. 

Petangnya ibu murid tersebut datang ke sekolah mencari saya. Datang bukan untuk berterima kasih tapi untuk memaki hamun saya kerana pandai-pandai letak ubat dan tidak menghubunginya. Luka pada hidung anaknya terlalu sedikit tapi saya dimaki hamun bagaikan saya melakukan kesalahan yang besar. Dia siap ugut saya, kalau apa-apa berlaku pada hidung anaknya,siaplah saya.. Sedihnya hati Tuhan saja yang tahu, niat saya yang ikhlas untuk menolong sedikit pun tidak dihargai malah dihadiahkan ugutan lagi.

Selepas dibawa ke klinik bersama dengan guru penolong kanan, doktor mengesahkan tidak ada apa-apa yang berlaku cuma luka kecil sahaja. Tuhan Maha Adil, ibu itu pula dimarahi oleh doktor atas sikapnya sedangkan luka anaknya tidak seberapa.  Esoknya, murid itu datang ke sekolah seperti biasa dan ibunya sedikit pun tidak menunjukkan rasa bersalah.

Kepada semua ibu bapa, janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Jangan kerana segelintir guru yang membuat onar, semua guru disalahkan. Guru bukanlah sekejam yang disangkakan. Guru juga memiliki sekeping hati yang ikhlas ingin melihat anak didiknya berjaya dan cemerlang dalam kehidupan. Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru yang mengajar anak-anak anda.

Terima kasih buat semua yang sentiasa menghargai cikgu-cikgu..


4 comments:

Awangku Johan said...

salam ziarah dan salam perkenalan.. saya follow blog awak.. mai la singgah dan follow.. oh ye.. happy teachers day

Gen2Merah said...

memang benar. kerjaya guru pada hari ini memang sungguh mencabar.. semoga kita guru2 dapat kuatkan semangat mengajar dengan seikhlasnya..
salam ukhuwah drpd follower ke 24

niey_muhaini said...

Thanks gen2merah..;)

Jgn memilih kerjaya sbg guru hanya kerana tiada pilihan lain, kerana itu akan menjerat diri sendiri. Semangat yg kuat & tahan pada cabaran adalah syarat pntg utk jd cikgu..sama2lah kita.

niey_muhaini said...

Salam Awangku Johan & slmt berkenalan..thanks sudi follow blog sy. Sy dah lama la follow blog awak,selalu gak singgah..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...